11 December 2011

Pandai Emas, Pandai Besi

Baca cerita di bawah kemudian jawab soalan berikutnya.


Dalam sebuah negeri, terdapat seorang pandai emas yang kaya. Di negeri itu juga, ada seorang pandai besi. Malangnya, besinya tidak selaris emas yang dijual oleh pandai emas.

Pandai emas selalu memandang rendah terhadap pandai besi.
"Besi tidak guna. Emas lebih tinggi dan mahal harganya," kata pandai emas.

Pada suatu malam, pencuri memasuki rumah pandai emas. Kesemua emasnya telah dicuri. Namun begitu, pandai emas tidak berputus asa. Dia terus bekerja keras. Akhirnya, dia berjaya mengumpulkan emas. Perniagaannya semakin maju.

Nasib malang menimpa pandai emas lagi. Pencuri masuk ke rumahnya. Pencuri telah mencuri kesemua emas yang dikumpulnya.

Pandai emas sungguh kecewa. Akhirnya, dia berjumpa dan mengadu kepada pandai besi. Pandai besi mencadangkan pandai emas membuat senjata bagi mengawal rumahnya. Pandai emas bersetuju. dengan menggunakan senjata buatan pandai besi, akhirnya pencuri itu dapat ditangkap.

Kedua-dua mereka berasa gembira. Pandai emas dan pandai besi akhirnya menjadi rakan karib. Semenjak itu, pandai emas tidak memandang rendah akan pandai besi.

Jawab soalan di bawah.

1.a. Mengapakah pandai emas memandang rendah kepada pandai besi?.
b. Bagaimanakah pandai emas boleh berjaya?.
c. Mengapakah pandai emas dan pandai besi boleh bekerjasama akhirnya?

2. Tulis cerita di atas dalam buku tulis kamu. Gunakan perkataan dan ayat kamu sendiri.

Sumber: Buku Teks muka surat 68.

Huraian Sukatan Pelajaran

UNIT 12, CERITA TELADAN,


a)Cerita Rakyat dalam Negara
b) Cerita Haiwan
c) Cerita Rakyat luar Negara
Objektif:
Pada akhir pembelajaran, murid dapat:
1. Bercerita dengan menggunakan sebutan, intonasi dan gaya penyampaian yang sesuai.
2. Menyatakan makna perkataan, frasa dan ayat.
3. Menulis karangan dengan betul.
4. Membaca lancar dan memberikan penjelasan tentang perkara yang dibaca.
5. Menjelaskan pengajaran yang terdapat dalam teks.
6. Memindahkan ayat penyata kepada ayat pasif dan sebaliknya.
7. Menyenaraikan isi dan idea yang terdapat dalam teks.
8. Menulis ringkasan berdasarkan teks yang dibaca.
9. Memilih peribahasa yang sesuai berdasarkan teks.
Hasil pembelajaran:
Fokus Utama:
5.2 Membaca kuat teks prosa dan puisi dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar, serta memahami perkara yang dibaca.
Fokus Sampingan:
2.1 Bercerita dengan menggunakan kata, frasa, ayat serta sebutan dan intonasi yang baik dan jelas.
9.2 Mengenal pasti maklumat dan mencatat nota daripada bahan yang didengar atau dibaca.
10.1 Menghasilkan penulisan pelbagai genre (prosa dan puisi) termasuk e-mel yang mudah, menarik dan bermakna.