19 October 2011

Sang Kambing Yang Bijak

Baca cerita di bawah. Kemudian, jelaskan pengajaran yang terdapat dalam teks.

Seekor serigala yang kelaparan sedang mencari makanan di sebidang
padang yang luas. Tiba-tiba,Sang Serigala ternampak sekawan kambing
sedang meragut rumput di tepi padang. Sang Serigala segera menerkam
kawanan kambing tanpa ragu-ragu kerana terlalu lapar.
Anjing ternakan menyedari kawanan kambing diserang oleh Sang
Serigala dan mempertahankan keselamatan kambing-kambing tersebut. Sang Serigala terpaksa melarikan diri demi keselamatannya.Dia meninggalkan tempat itu dengan kecewa.
Sang Serigala terlantar di tepi sungai kerana mengalami cedera parah. Ia
berasa dahaga dan teringin sekali minum air. Tetapi Sang Serigala tidak
bermaya bangun untuk mendapatkan air. Pada ketika itu,seekor kambing
mendekati Sang Serigala yang sedang nyawa-nyawa ikan. Sang Serigala yang licik segera mendapat akal.
Sang Serigala menunjukkan wajah hiba-hiba untuk mendapatkan bantuan
kambing itu. ”Hai,Sang Kambing yang dihormati,tolong dapatkan air untuk
saya,saya amat dahaga.Dengan bantuan kamu,barulah saya bermaya untuk mencari makanan dan tidak mati kebuluran di sini,”Sang Serigala meminta bantuan daripada Sang Kambing.
Sang Kambing meninjau Sang Serigala dari jauh. Sang Kambing
menyedari Sang Serigala itu mengancam nyawa mereka selama
ini. Kebanyakan ahli keluarganya terkorban dimakannya. ”Kalau saya membantu kamu,maka saya akan jadi buruan kamu nanti.”ujar Sang Kambing kepada Sang Serigala lalu meninggalkan tempat itu.

Pengajaran yang terdapat dalam teks.
1. Kalau kita selalu tamak, kita akan mendapat kerugian.
2. Janganlah kita sesekali bersimpati terhadap musuh kita.Kita harus sentiasa berwaspada untuk mempertahankan keselamatan diri sendiri.
(TEMAN PINTAR - 05/2008)

TUGASAN (Kemahiran Berfikir)

Berdasarkan cerita di atas, susun semula kejadian yang berlaku dengan menggunakan peta minda (Flow Map).

Huraian Sukatan Pelajaran

UNIT 12, CERITA TELADAN,


a)Cerita Rakyat dalam Negara
b) Cerita Haiwan
c) Cerita Rakyat luar Negara
Objektif:
Pada akhir pembelajaran, murid dapat:
1. Bercerita dengan menggunakan sebutan, intonasi dan gaya penyampaian yang sesuai.
2. Menyatakan makna perkataan, frasa dan ayat.
3. Menulis karangan dengan betul.
4. Membaca lancar dan memberikan penjelasan tentang perkara yang dibaca.
5. Menjelaskan pengajaran yang terdapat dalam teks.
6. Memindahkan ayat penyata kepada ayat pasif dan sebaliknya.
7. Menyenaraikan isi dan idea yang terdapat dalam teks.
8. Menulis ringkasan berdasarkan teks yang dibaca.
9. Memilih peribahasa yang sesuai berdasarkan teks.
Hasil pembelajaran:
Fokus Utama:
5.2 Membaca kuat teks prosa dan puisi dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar, serta memahami perkara yang dibaca.
Fokus Sampingan:
2.1 Bercerita dengan menggunakan kata, frasa, ayat serta sebutan dan intonasi yang baik dan jelas.
9.2 Mengenal pasti maklumat dan mencatat nota daripada bahan yang didengar atau dibaca.
10.1 Menghasilkan penulisan pelbagai genre (prosa dan puisi) termasuk e-mel yang mudah, menarik dan bermakna.