Pada suatu hari, seekor rusa sedang bermain-main di tepi kolam yang sangat jernih airnya. Rusa itu berasa gembira apabila terpandang bayang yang terpancul di atas permukaan air kolam itu. Ia berasa amat bangga melihat rupa yang begitu cantik. Kulit badan juga kelihatan bersinar.
Rusa itu paling suka akan tanduk yang besar dan cantik. Ia memandang tanduk daripada pelbagai sudut tanpa berasa jemu. Tiba-tiba, rusa itu ternampak keempat-empat batang kaki yang kurus seperti kayu. Ia berasa kaki itu sangat hodoh. Rusa itu pun berfikir dalam hati: Mengapakah Tuhan mengurniakan aku tanduk yang cantik tetapi tidak memberi kaki yang sepadan dengan tandukku? Memang tidak adil! Aku juga ingin mempunyai empat batang kaki yang kuat dan cantik!.
Pada masa yang sama, seekor singa yang kebetulan lalu di situ ternampak rusa itu. Singa itu menghampiri dan ingin membaham rusa itu. Rusa itu amat terkejut lalu terus melarikan diri dengan keempat-empat batang kaki yang panjang.
Rusa itu terus melompat ke seberang sungai. Namun malang nasib, apabila rusa itu ingin meredah belukar, tanduknya tersangkut pada dahan pokok. Walaupun rusa itu cuba sedaya upaya melepaskan diri tetapi tidak berjaya. Singa itu semakin mendekati rusa. Air mata rusa jatuh menitis ke kulit badannya yang cantik itu. Dengan penuh sesal,lalu berkata dalam hati: Rupa-rupanya, hanya kaki yang hodoh berupaya menyelamatkan aku! Sebaliknya, tanduk yang cantik ini telah menyusahkan aku!.
(Teman Pintar 07/2008)
TUGASAN (Kemahiran Berfikir)
1. Bina peta minda untuk mengambarkan struktur badan rusa dan struktur badan singa. Gunakan peta minda (Brace Map).
2. Berpandukan cerita di atas,nyatakan kronologi kejadian menggunakan peta minda (Flow Map).