19 October 2011

Angsa yang pintar



Pada zaman dahulu, tinggal sekawan angsa putih yang besar.Setiap hari, angsa-angsa ini akan mengikut tuan mereka ke sebatang sungai untuk berenang dan bermain.

Pada suatu hari, tuan angsa terpaksa meninggalkan angsa-angsa di sungai itu kerana perlu pulang ke rumah untuk menyelesaikan suatu perkara yang penting.

Sebaik sahaja tuan angsa meninggalkan tempat itu, datang pula seekor serigala. Serigala itu berasa sungguh gembira apabila melihat begitu banyak angsa. Serigala itu mendekati sungai itu sambil berfikir : aku boleh makan sepuas-puasnya hari ini.

"Tuan kita tiada di sini. Kita perlu mencari jalan untuk menghubungi tuan kita itu dengan segera", kata angsa-angsa itu dengan perasaan cemas.

Pada masa itu, seekor angsa yang pintar berjalan di tebing sungai lalu berkata, "Encik serigala,aku pernah terdengar khabar mengatakan kamu memiliki suara yang sangat merdu. Sebelum aku menjadi makanan kamu, bolehkah aku mendengar nyanyian kamu?".

Selepas mendengar kata-kata angsa itu, serigala berasa gembira lalu berkata, "Tentulah boleh". Serigala itu terus menyanyi dengan kuat. Tuan angsa yang mendengar jeritan serigala itu, bergegas lari ke sungai itu dengan membawa sebatang kayu. Serigala itu segera memberhentikan nyanyiannya lalu melarikan diri dari situ.

Pengajaran:
1. Kita perlulah berhati-hati apabila tiada orang yang menjaga keselamatan kita.
2. Sikap bantu-membantu perlulah diamalkan agar hidup kita sejahtera.
3. Jangan meninggalkan harta kita merata-rata tanpa pengawasan

TUGASAN (Kemahiran Berfikir)
Berdasarkan cerita di atas, senaraikan persamaan dan perbezaan yang didapati di antara angsa dan serigala. Gunakan peta minda (Double Bubble Map) bagi mengambarkannya.

Huraian Sukatan Pelajaran

UNIT 12, CERITA TELADAN,


a)Cerita Rakyat dalam Negara
b) Cerita Haiwan
c) Cerita Rakyat luar Negara
Objektif:
Pada akhir pembelajaran, murid dapat:
1. Bercerita dengan menggunakan sebutan, intonasi dan gaya penyampaian yang sesuai.
2. Menyatakan makna perkataan, frasa dan ayat.
3. Menulis karangan dengan betul.
4. Membaca lancar dan memberikan penjelasan tentang perkara yang dibaca.
5. Menjelaskan pengajaran yang terdapat dalam teks.
6. Memindahkan ayat penyata kepada ayat pasif dan sebaliknya.
7. Menyenaraikan isi dan idea yang terdapat dalam teks.
8. Menulis ringkasan berdasarkan teks yang dibaca.
9. Memilih peribahasa yang sesuai berdasarkan teks.
Hasil pembelajaran:
Fokus Utama:
5.2 Membaca kuat teks prosa dan puisi dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar, serta memahami perkara yang dibaca.
Fokus Sampingan:
2.1 Bercerita dengan menggunakan kata, frasa, ayat serta sebutan dan intonasi yang baik dan jelas.
9.2 Mengenal pasti maklumat dan mencatat nota daripada bahan yang didengar atau dibaca.
10.1 Menghasilkan penulisan pelbagai genre (prosa dan puisi) termasuk e-mel yang mudah, menarik dan bermakna.