05 October 2011

Anai-anai dengan Gergasi


Di sebuah busut, tinggal beribu-ribu ekor anai-anai. Anai-anai itu dipimpin oleh Raja Anai-anai. Raja Anai-anai sangat adil. Baginda disayangi oleh rakyatnya.
Suatu hari, Raja Anai-anai ditangkap oleh gergasi. Ratu Anai-anai sangat sedih. Beberapa ekor anai-anai berusaha menyelamatkan raja mereka.
" Aku akan membebaskan raja kamu jika kamu dapat membina sebuah istana. Istana itu mesti disiapkan dalam masa sepuluh hari," kata gergasi itu.
Anai-anai itu pun pulang. Mereka memberitahukan permintaan tersebut kepada Ratu Anai-anai.
"Sanggupkah kalian membina istana itu?" tanya Ratu Anai-anai.
"Kami sanggup, tuanku," jawab semua anai-anai.
Sejak hari itu, anai-anai mula bekerja. Mereka memeras keringat siang dan malam.
Gergasi datang melihat anai-anai bekerja. Gergasi memandang rendah terhadap mereka.
"Jangan melakukan kerja yang sia-sia. Tidak mungkin kamu dapat menyiapkan istana itu dalam masa sepuluh hari," katanya sambil ketawa.
Anai-anai tidak menghiraukan kata-kata gergasi itu. Mereka terus bekerja.
Pada hari kesepuluh, gergasi datang menemui Ratu Anai-anai. Alangkah terkejutnya gergasi apabila melihat sebuah istana tersergam indah. Gergasi pun membebaskan Raja Anai-anai seperti yang dijanjikan. Semua anai-anai berbesar hati. Berkat kerajinan, mereka dapat menyelamatkan Raja Anai-anai.
Pengajaran:
1. Jangan memandang rendah akan kelemahan yang dimiliki oleh orang lain.
2. Kita haruslah berpegang pada janji. Jika kita berjanji kita harus tepati.
3. Rajin dan usaha akan membuahkan hasil.
4. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

TUGASAN (Kemahiran berfikir)

Cerita di atas memaparkan dua watak utama yang mempunyai sifat yang berbeza. Dengan menggunakan peta minda (Double Bubble Map), senaraikan persamaan dan perbezaan sikap tersebut.

Huraian Sukatan Pelajaran

UNIT 12, CERITA TELADAN,


a)Cerita Rakyat dalam Negara
b) Cerita Haiwan
c) Cerita Rakyat luar Negara
Objektif:
Pada akhir pembelajaran, murid dapat:
1. Bercerita dengan menggunakan sebutan, intonasi dan gaya penyampaian yang sesuai.
2. Menyatakan makna perkataan, frasa dan ayat.
3. Menulis karangan dengan betul.
4. Membaca lancar dan memberikan penjelasan tentang perkara yang dibaca.
5. Menjelaskan pengajaran yang terdapat dalam teks.
6. Memindahkan ayat penyata kepada ayat pasif dan sebaliknya.
7. Menyenaraikan isi dan idea yang terdapat dalam teks.
8. Menulis ringkasan berdasarkan teks yang dibaca.
9. Memilih peribahasa yang sesuai berdasarkan teks.
Hasil pembelajaran:
Fokus Utama:
5.2 Membaca kuat teks prosa dan puisi dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar, serta memahami perkara yang dibaca.
Fokus Sampingan:
2.1 Bercerita dengan menggunakan kata, frasa, ayat serta sebutan dan intonasi yang baik dan jelas.
9.2 Mengenal pasti maklumat dan mencatat nota daripada bahan yang didengar atau dibaca.
10.1 Menghasilkan penulisan pelbagai genre (prosa dan puisi) termasuk e-mel yang mudah, menarik dan bermakna.