24 October 2011

Mulut yang cemburu


Mulut selalu cemburu terhadap apa-apa yang tidak disenanginya. Pada suatu hari, mulut iri hati akan mata. Kata mulut,"Bukankah tuan sudah mempunyai mulut? Mengapakah tuan memerlukan mata lagi?"
Mata dengan marahnya berkata, " Ini disebabkan tuan ingin melihat dunia ini dan mengelakkan kamu mengata-ngata." "Jika begitu, bagaimanakah pula dengan telinga?" mulut masih tidak puas hati. "Ini kerana tuan ingin mendengar pendapat ramai untuk mengelakkan kamu bercakap banyak,"jawab telinga dengan marah.
"Mengapakah kamu semua berpasangan? Apakah pula kegunaan sepasang tangan?" mulut tanya lagi. Tangan pun menjawab, "Haha, aku berperanan untuk banyak bekerja, mengurangkan percakapan kosong." Hidung dengan tidak sabarnya berkata, "Seperti kamu, walaupun hanya satu,tapi kami berasa kamu memang menyusahkan."
Akhirnya, mulut berasa malu dan tidak berani bercakap lagi.
(Teman Pintar 14/2007)

TUGASAN (Kemahiran Berfikir)

Berdasarkan petikan senaraikan semua maklumat yang kamu tahu tentang mulut. Gunakan peta minda (Circle Map) dalam menyenaraikan maklumat tersebut.

Huraian Sukatan Pelajaran

UNIT 12, CERITA TELADAN,


a)Cerita Rakyat dalam Negara
b) Cerita Haiwan
c) Cerita Rakyat luar Negara
Objektif:
Pada akhir pembelajaran, murid dapat:
1. Bercerita dengan menggunakan sebutan, intonasi dan gaya penyampaian yang sesuai.
2. Menyatakan makna perkataan, frasa dan ayat.
3. Menulis karangan dengan betul.
4. Membaca lancar dan memberikan penjelasan tentang perkara yang dibaca.
5. Menjelaskan pengajaran yang terdapat dalam teks.
6. Memindahkan ayat penyata kepada ayat pasif dan sebaliknya.
7. Menyenaraikan isi dan idea yang terdapat dalam teks.
8. Menulis ringkasan berdasarkan teks yang dibaca.
9. Memilih peribahasa yang sesuai berdasarkan teks.
Hasil pembelajaran:
Fokus Utama:
5.2 Membaca kuat teks prosa dan puisi dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar, serta memahami perkara yang dibaca.
Fokus Sampingan:
2.1 Bercerita dengan menggunakan kata, frasa, ayat serta sebutan dan intonasi yang baik dan jelas.
9.2 Mengenal pasti maklumat dan mencatat nota daripada bahan yang didengar atau dibaca.
10.1 Menghasilkan penulisan pelbagai genre (prosa dan puisi) termasuk e-mel yang mudah, menarik dan bermakna.